Syair Rakis Kisah Tragis Penjajahan Bangsa. Selain terkenal dengan kesejahteraannya, negara Brunei Darussalam juga terkenal dengan syair syairnya. Salah sebuah syair yang masyhur bertajukSyair Rakis.
Syair ini ditulis pada tahun tahun 1840an oleh Pengiran Shahbandar Pengiran Md Salleh . Isi utama syair ini ialah peringatan kepada Raja dan rakyat tentang bahaya yang sedang dihadapi iaitu percubaan kuasa asing untuk mengenepikan kedaulatan raja-raja Melayu. Syair ini mendedahkan muslihat kuasa asing yang sedang menjalankan pelbagai helah dan muslihat untuk melebarkan kuasa di Nusantara.
Syair Rakis dimulakan dengan enam rangkap di atas yang puitis. Pengarang memperkenalkan dirinya dengan nama yang romantis iaitu Gurindam Bayu dan Dagang Asmara dan menggambarkan keadaan dirinya yang nestapa, menjadi dagang buangan yang sedang membawa diri di segenap desa dan pantai yang saujana. Pengarang syair juga menceritakan bahawa pada suatu ketika dahulu dia pernah hidup di dalam keadaan selesa dan penuh kasih sayang (dari kecil timang-timangan).
Penceritaan begini telah berjaya menimbulkan tandatanya atau unsur suspen di kalangan pembaca dan pendengar syair. Pembaca ingin mengetahui apakah yang telah terjadi sehingga dirinya kini membawa nasib yang dikatakan tiada berguna. Tentu ada sesuatu yang telah menimpa dirinya.
Syair ini diperindah dengan penggunaan imej alam seperti gunung, pantai, dan burung yang sedang terbang.. Terdapat unsur metafora gunung larangan yang membawa maksud suatu tempat yang terpencil dan penuh kesukaran ; pantai saujanamemberi gambaran tempat yang sangat luas dan perjalanan panjang yang telah ditempuhi untuk mencari sesuatu. Penyair membuat misalan dirinya seperti burung yang sedang terbang tetapi tidak hinggap di mana-mana ranting dan tidak singgah untuk mematuk buah dan bunga.
Gambaran ini adalah tepat untuk menimbulkan suasana cemas seorang yang sedang dalam pelarian atau sedang diburu. Pembaca tertanya-tanya.adakah dia telah dianiaya dan disingkir daripada tempatnya yang hak. Adakah dia sedang diburu oleh musuh sehingga takut untuk hinggap di mana-mana.dan penuh dengan gambaran tentang nasib pengarangnya yang menganggap dirinya sedang merana keseorangan. Tentulah ada cerita di sebalik kesengsaraan yang ditanggung oleh pengarang. Pembaca akan tertanya-tanya apakah yang telah terjadi maka pengarang tersebut telah menjadi orang terbuang (buang-buangan di negeri orang.
Pertanyaan ini terjawab apabila penulis mendapat buku berjudul Syair Rakis yang diterbitkan oleh Pusat Sejarah Brunei, tahun 1983. Buku ini mengandungi teks syair yang masyhur ini bersama kajian dan ulasan yang telah dijalankan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Amar Diraja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Mohd Jamil Al-Sufri, Pengetua, Pusat Sejarah Brunei. Selain daripada itu, buku ini memuatkan riwayat hidup Pengarang Syair Rakis dan segala peristiwa yang telah dilalui yang mencetus penciptaan syair tersebut. Dari sini terjawablah segala pertanyaan tentang isi syair yang mengharu perasaan itu.
Syair tersebut mengandungi cerita yang sangat penting bukan sahaja dalam sejarah Brunei malah dalam sejarah Nusantara. Pengiran Md Salleh yang juga dipanggil Pengiran Indera Mahkota adalah keluarga Diraja Brunei yang telah dihantar ke Sarawak sebagai wakil Sultan di negeri itu. Pada masa itu Sarawak adalah dibawah pemerintahan Sultan Brunei. Pada tahun 1834, Pengiran Muda Hashim ibnu Sultan Muhammad Kanzul Alam telah berangkat ke Sarawak untuk memerhatikan keadaan. Dari awal lagi terjadi bibit-bibit perselisihan di antara Pengiran Indera Mahkota dan Pengiran Muda Hashim. Perselisihan faham yang berpanjangan itu telah dipergunakan oleh kuasa asing yang sedang melebarkan kuasa di negeri negeri Melayu pada masa itu, khasnya James Brooke yang telah sampai ke Sarawak pada tahun 1839. Akhirnya Brooke berjaya mencapai cita-citanya dan dilantik sebagai menjadi Gabenur Sarawak, malah di’mahkota’kan sebagai Rajah dan memulakan dinasti The White Rajah of Sarawak .
James Brooke dikatakan telah memerhati perwatakan Pengiran Indera Mahkota yang cendekiawan. Di dalam buku The White Rajah of Sarawak , Brooke berkata tentang Pengiran Indera Mahkota yang dianggapnya sebagai berbakat dan seorang penyair yang fasih bercakap. “He possessed all the talents. He wrote poetry. He talked well and quickly”. (m.s.32)
Selepas perlantikan James Brooke menjadi Raja Sarawak itu, Pengiran Indera Mahkota pun berundur , membawa diri, berkelana di pesisir pantai Sarawak sehingga akhirnya dijemput pulang oleh Pengiran anak Abdul Momin yang kemudian menaiki takhta Brunei dengan nama Sultan Abdul Momin. Dalam masa berkelana dan dalam pelayaran pulang itu Pengiran Indera Mahkota telah mengarang Syair Rakis lalu dipersembahkan kepada Sultan. Baginda menyambut baik Syair Rakis yang mengandungi pemikiran dan saranan yang dianggap bernas di dalam memajukan negara.
Antara lain isi Syair Rakis memberi gambaran tentang apa yang sedang berlaku kepada raja-raja Melayu di rantau ini akibat percayakan orang asing. Pengarang memohon Sultan agar mengambil iktibar dari apa yang sedang berlaku di Mataram, Riau, Singapura, Johor, Pahang dan sebagainya.
Petikan daripada Zurinah Hassan
PERTANDINGAN DEKLAMASI PUISI DAN SYAIR SEKOLAH MENENGAH (KATEGORI DEKLAMASI SAJAK DAN KATEGORI PENYAMPAIAN SYAIR) 2015
Muat turun
0 ulasan: