Ads

Sabtu, 30 Mei 2015

Apa Itu Konflik Kepentingan?

By SPG  |  6:02 PG No comments


Situasi konflik kepentingan timbul hampir setiap hari, tanpa disedari.

Orang ramai menganggap apa yang dilakukan adalah benar kerana tiada kecederaan atau kerugian kewangan yang terjadi, dan tiada kedudukan yang tergugat.

Konflik kepentingan lazimnya dinilai dari sudut etika, iaitu sama ada apa yang dilakukan oleh seseorang itu betul atau salah secara moral.

Sesetengah orang melihat apa yang dilakukan mereka sebagai satu keperluan, iaitu keperluan untuk menjamin kelangsungan hidup.

Tetapi pada asasnya, dengan hadirnya konflik kepentingan sebegini, kakitangan syarikat insurans hayat mungkin berada di dalam situasi di mana mereka tidak dapat berfikir secara objektif dan rasional.

Justeru, ramai yang tidak dapat membezakan antara hal peribadi dan urusan perniagaan.

Minda manusia gagal membuat keputusan secara adil dan saksama kerana dikaburi prospek keuntungan peribadi, tanpa keputusan tegas dan jelas.

Maka adalah perlu kita menegaskan dan menerangkan peraturan dalam menangani situasi yang boleh menimbulkan konflik kepentingan.

Justeru itu, kakitangan syarikat insurans hayat tidak dibenarkan menjalankan atau terlibat dalam kegiatan perniagaan secara langsung atau tidak langsung, yang bercanggah atau bersaing dengan syarikat majikan mereka.

Pada amnya, konflik kepentingan timbul dalam situasi berikut:
  • Apabila kakitangan mempunyai kepentingan kewangan langsung atau tidak langsung dalam simpanan pemegang polisi, seperti menjadi rakan perniagaan, pemiutang atau penghutang, ataupun pewaris sekiranya pemegang polisi meninggal dunia, maka kakitangan ini hendaklah memaklumkan penyelia atasannya dengan serta-merta tentang hubung-kait tersebut. 
  • Sejurus selepas itu, kakitangan tidak harus dibenarkan berurusan dengan pemegang polisi dalam segala urusan syarikat 
  • Semua kakitangan syarikat insurans hayat tidak dibenarkan menjalankan urusan perniagaan peribadi pada waktu pejabat. 
  • Situasi ini sering berlaku kerana ramai kakitangan, khususnya mereka yang mempunyai gaji lebih rendah, melakukan lebih daripada satu tugasan untuk menampung beban kewangan mereka. 
  • Keadaan seperti ini tidak digalakkan kerana mereka mungkin tidak dapat memberikan yang terbaik kepada syarikat insurans hayat pada waktu pejabat biasa dan dengan itu menjejaskan tahap produktiviti syarikat. 
  • Kepentingan syarikat juga mungkin terjejas dalam soal pekerjaan sambilan. Untuk memperoleh pendapatan tambahan, sesetengah kakitangan bekerja secara sambilan selepas waktu kerja biasa mereka. 
  • Sebelum menerima pekerjaan sambilan tersebut, kakitangan syarikat insurans hayat mesti mendapatkan kelulusan bertulis daripada pengurus atasannya. Kelulusan tersebut hanya diberikan jika syarikat mendapati kerja sambilan itu langsung tidak menjejaskan atau mengancam kepentingan syarikat. 
  • Situasi konflik kepentingan juga timbul jika kakitangan bertugas sebagai wakil jualan insurans hayat untuk syarikat. Dalam keadaan tersebut, peraturan menetapkan bahawa semua kakitangan mesti mengemukakan perniagaan tersebut terus kepada syarikat menerusi penyelia atasan mereka yang akan meluluskannya sebelum dihantar untuk proses penajajaminan. Dan bagi kakitangan yang diberi kuasa untuk mengendalikan penajajaminan atau tuntutan, maka pegawai atasan mereka mesti mengesahkan segala kuasa sedemikian. 
  • Hiburan dan hadiah adalah bentuk ganjaran biasa yang diberikan kepada kakitangan yang membuat keputusan tertentu, dan amalan ini tidak dibenarkan. Kakitangan tidak dibenarkan menerima sebarang hadiah, dalam bentuk wang ringgit atau lain-lain, atau diraikan, kecuali cenderahati yang tidak mempunyai nilai komersil. 
  • Kakitangan syarikat insurans hayat tidak dibenarkan menjadi pengarah korporat mana-mana organisasi pihak ketiga, melainkan atas kebenaran dan kelulusan daripada ketua eksekutif syarikat. 
Namun begitu, kakitangan dibenarkan menjadi pengarah organisasi tidak mencari untung, badan sosial atau kebajikan, bergantung kepada dasar dalaman syarikat insurans hayat masing-masing.


* Artikel ini disediakan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM)

Pengarang: SPG

Assalamualaikum. Sekadar berkongsikan sedikit pengetahuan dan pengalaman sebagai pendidik, peniaga online dan offline. Moga sedikit membantu kelangsungan hidup kita yang diamanahkan sebagai seorang khalifah. InsyaAllah.

0 ulasan:

Langganan via E-mail

Recent Articles

© 2014 Bizz of Life. WP themonic converted by Bloggertheme9. Powered by Blogger.
TOP